ORANG ramai kini boleh menggunakan kemudahan terbaru menerusi MyKad
apabila sebuah syarikat tempatan iaitu Affiliate Junction memperkenalkan
program MyKad Smart Shopper (MSS) yang memberikan rebat tunai dan
pelbagai faedah lain kepada pengguna apabila membeli-belah di premis
perniagaan terpilih.
Program MSS adalah program pertama menjurus kepada pengguna Malaysia
yang gemar membeli-belah dan sejak Ogos lalu saja lebih 2,000 penduduk
berdaftar di bawah MSS yang menawarkan lebih 100 rangkaian membeli-belah
di sekitar Lembah Klang.
Pengarah Eksekutif I-Sybergy Universal Sdn Bhd dan Pemilik Affiliate
Junction, Lawrence Teo berkata, sokongan padu daripada Multimedia
Development Corporation Bhd (MDeC) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)
membolehkan pihaknya memperkenalkan program MSS kepada seluruh warga
Malaysia.
“Kami mengaplikasikan konsep pemasaran perkongsian di mana perniagaan
memberi ganjaran kepada rakan kongsi kami yang memperkenalkan program
ini kepada peniaga dan pengguna.
“Ia juga menjadikan warga Malaysia pengguna bijak kerana melalui
program ini mereka akan mendapat rebat tunai dan pelbagai faedah lain
apabila membeli-belah di premis peniaga yang berdaftar dengan kami,”
katanya, kelmarin.
Majlis merasmikan program MyKad Smart Shopper itu turut dihadiri
Pengarah Projek Kad Pintar, JPN, Siti Rohani Muhamad Yusup, Pengarah
Pegawai Operasi Koperasi MDeC, Ng Wan Peng dan Ketua Bahagian Kad Pintar
Pelbagai Guna, Bahagian Sosio Ekonomi MDeC, Abdul Jalil Shukor.
Teo berkata, pihaknya turut menjemput peniaga berminat untuk menjadi
rakan kongsi bagi program penyelidikan yang berpandukan tempoh percubaan
percuma selama 12 bulan.
“Kami sedang mencari sekurang-kurangnya 500 peniaga berminat
membabitkan diri di dalam program penyelidikan ini dan kami berharap
dapat bekerjasama dengan beberapa persatuan peniaga dan jenama terkenal
bagi memperkenalkan konsep ini kepada ahli perniagaan mereka,” katanya.
Tanpa dikenakan sebarang kos, rakyat Malaysia kini boleh mendaftarkan
MyKad mereka melalui mana-mana rakan kongsi Affiliate Junction dan
selepas menjadi ahli, pengguna boleh terus menikmati nilai hebat.
Pengguna juga boleh mendapat rebat tunai segera dan peniaga pula
diberi peluang mengembangkan potensi perniagaan mereka kepada 27 juta
pengguna tanpa berbelanja lebih melalui pengiklanan dan promosi kerana
menggunakan konsep pemasaran berpandukan bayaran melalui setiap jualan.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari www.aj.my.
