AJ Retail Network Kembang Sayap Ke Sabah – Bernama
KOTA KINABALU, 5 Julai (Bernama) — Affiliate Junction
Network (AJ), rangkaian sekutu runcit utama Malaysia hari ini secara
rasminya meluaskan rangkaiannya ke Sabah dengan pelancaran program
utamanya – MyKad Smart Shopper Program, di sini.
(L-R)
Mr. Lawrence Teo (CEO of IS Group, AJ founder), Haji Mohd Kamaruddin
Yap (MD of Kemawang Enterprise Sdn Bhd), Haji Uda Haji Sulai (MD of
Systemic M&E Sdn Bhd), Dato’ Ir Wan Zahari Hassan (AJ Program
Patron), Siti Rohani Muhamad Yusup (Director of the Government
Multipurpose Card Project, JPN), Ms. YE Leong (Chief Marketing of IS
Group)
Ia dilancarkan bersama oleh Pengarah Projek Kad Pelbagai Guna
Kerajaan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Siti Rohani Mohamed Yusup,
Penaung Affiliate Junction Datuk Ir Wan Zahari Bin Hassan dan Pengasas
Affiliate Junction serta CEO I SYnergy Universal Sdn Bhd (IS) Lawrence
Teo.
Program MyKad Smart Shopper itu dibangunkan oleh IS, penyedia
penyelesaian dan perunding cara pemasaran runcit bersepadu, secara
kerjasama strategik dengan JPN dan Perbadanan Pembangunan Multimedia
(MDeC).
Dilancarkan terdahulu di Kuala Lumpur pada November lepas, program
smart shopper itu merupakan yang pertama seumpamanya yang menyediakan
secara terus kepada sebarang keperluan runcit asas rakyat Malaysia.
Program itu juga membolehkan rakyat Malaysia menjadi pengguna yang
lebih pintar apabila mereka menikmati keistimewaan, rebat tunai segera,
serta mata ganjaran apabila mereka berbelanja di outlet peniaga
rangkaian tersebut, kata Teo.
Setakat ini, program itu memperoleh hampir 200 outlet runcit yang menyertainya dan 30,000 sekutu dan ahli.
“Pendekatan kami adalah untuk menggunakan konsep pemasaran sekutu di
mana perniagaan memberikan ganjaran kepada sekutu kerana merujukkan
pelanggan kepada perniagaan mereka,” katanya.
Menerusi sokongan JPN dan MDeC, “kami dapat meluaskannya kepada lebih
ramai rakyat Malaysia yang boleh mendapat manfaat daripada konsep ini,”
katanya.
Teo berkata rakyat Malaysia kini boleh mengaktifkan MyKad mereka
dengan mana-mana sekutu Affiliate Junction dan menikmati banyak faedah
yang ditawarkan oleh ‘MyKad Smart Shopper Program’.
“Pengguna mendapat rebat tunai segera dan mata ganjaran apabila
mereka berbelanja manakala peniaga mendapat akses kepada 27 juta
pelanggan yang berpotensi tanpa berbelanja lebih bagi pengiklanan dan
promosi hasil daripada saluran pemasaran prestasi bayar bagi jualan ini.
Ia situasi sama-sama menang bagi semua,” katanya.
Teo berkata Affiliate Junction menyasar mendapatkan
sekurang-kurangnya 10,000 sekutu dan ahli dari pasaran Sabah dan Sarawak
untuk menyertai program tersebut dalam tempoh 12 bulan akan datang.
